PERANAN DAN CABARAN GURU PENDIDIKAN
KHAS
Pendidikan merupakan satu wadah utama
untuk pembangunan sesebuah negara. Pendidikan yang baik ialah pendidikan untuk
semua dan merangkumi segala aspek yang diperlukan oleh setiap murid mengikut
perbezaan murid. Ia selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu
“Pendidikan adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. Oleh itu, pendidikan yang
khusus dan bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai
juga perlu disediakan.
Di Malaysia, pendidikan khas telah
mendapat perhatian semua pihak apabila Akta Pendidikan 1996 menyatakan, program
pendidikan khas di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan layak diikuti oleh
murid dengan keperluan khas yang boleh dididik, iaitu;
“Jika dia mampu menguruskan diri
sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain dan disahkan oleh suatu
panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai daripada Kementerian
Pendidikan dan pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebagai berupaya
mengikut program pendidikan kebangsaan.”
Sehubungan dengan itu, pendidikan khas
di Malaysia pada masa kini adalah di bawah tanggungjawab empat kementerian
iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi dan
Kementerian Sumber Manusia. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak yang
cacat fizikal, terencat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastik atau
terencat. Manakala Kementerian Kesihatan pula bertanggungjawab menyaring dan
mengenalpasti kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan berisiko. (Jamila K.A
Mohamed, 2006)
Jamila K.A Mohamed (2006) menyatakan
bahawa pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk bagi memenuhi
keperluan pendidikan murid dengan keperluan khas. Pendidikan ini dirancang
secara teratur serta dinilai keberkesanannya secara teliti bagi membantu murid
dengan keperluan khas mencapai tahap berdikari tinggi dan kejayaan hidup yang
memuaskan.
Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di
bawah Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (1997), program pendidikan khas
bererti suatu program yang disediakan di sekolah khas bagi murid-murid yang
mempunyai kecacatan penglihatan ataupun kecacatan pendengaran. Selain itu,
program pendidikan khas juga diertikan sebagai suatu program percantuman di
sekolah biasa bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan ataupun
kecacatan pendengaran atau mempunyai masalah pembelajaran dan program
pendidikan inklusif bagi murid-murid dengan keperluan khas yang dapat
menghadiri di dalam kelas biasa bersama-sama dengan murid-murid biasa. (Jamila
K.A Mohamed, 2006).
Program Pendidikan Khas di Malaysia
terdiri daripada tiga kategori yang utama iaitu Program Pendidikan Khas
Bermasalah Pendengaran, Program Pendidikan Khas Bermasalah Penglihatan dan
Program Pendidikan Khas Integrasi. Ketiga- tiga program ini disediakan dari
peringkat prasekolah sehinggalah sekolah menengah. Disamping itu, pendidikan
teknik dan vokasional juga disediakan untuk ketiga-tiga kategori ini, khususnya
bagi masalah pendengaran. Malah pelajar masalah pendengaran yang berkelayakan
dapat meneruskan pengajian mereka di politeknik yang menjalankan program
pendidikan secara inklusif.
Secara umumnya, masyarakat melabelkan
orang yang memerlukan keperluan khas sebagai orang cacat,kurang upaya dan
ketidaksempurnaan. Menurut Noriati A.Rashid et al. (2011), kumpulan
berkeperluan khas merujuk kepada kanak-kanak istimewa (luar biasa atau tercabar
dari segi intelek, jasmani, sosial atau emosi). Kumpulan ini dianggap sebagai
istimewa kerana ibu bapa dan guru menumpukan perhatian yang lebih berbanding
murid-murid normal. Antaranya murid yang menghadapi penyakit autisme, sindrom
down, masalah pembelajaran disleksia, lewat perkembangan cerebral palsy,
kecacatan pendengaran dan penglihatan, pintar cerdas, kecelaruan tingkah laku
dan lain-lain lagi. Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah
Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (1997), murid-murid dengan keperluan khas
bermaksud murid-murid yang mempunyai kecacatan samaada penglihatan, pendengaran
ataupun masalah pembelajaran. (Jamila K.A Mohamed, 2006)
PERKEMBANGAN
PERANAN GURU PENDIDIKAN KHAS
Mengikut Kamus Dewan (Edisi Ke-4),
guru adalah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan juga pengasuh. Oleh
sebab itu, peranan dan tanggungjawab seorang guru sangat memberi impak yang
besar dan mendalam dalam diri setiap murid. Menurut Tokoh Guru Peringkat Negeri
Kedah, Abdul Rahim Mohd Said (Utusan Online, 2008), beliau menyatakan bahawa
setiap guru perlu memberi keutamaan kepada pelajar dan ibu bapa mereka sera
tahu apa keperluan pelajar bagi menjadi seorang guru yang baik. Ia sejajar
dengan Falsafah Pendidikan Guru iaitu “ Guru yang berpekerti mulia, berpandangan
progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung
warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu
masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.”
Profesion guru merupakan suatu
pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan banyak hadis Rasulullah
S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik atau penuntut ilmu
yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi menjadi guru pendidikan khas
yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa yang memerlukan kesabaran
yang sangat tinggi.
Peranan guru sangat besar apabila
mereka dianggap sebagai pengajar kerana tugas utama guru di dalam bilik darjah
adalah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan sukatan pelajaran serta
mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang bermoral tinggi. Untuk mencapai
objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah merancangkan aktiviti pengajaran
yang sesuai, alat bantu mengajar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran, melaksanakan rancangan mengajar yang telah disediakan dan membuat
penilaian atas segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang telah
dijalankan. Melalui maklum balas yang diperoleh daripada penilaian, guru dapat
menambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran yang
baharu mengikut masalah perlu diwujudkan apabila penambahbaikkan diperlukan.
Oleh sebab itu, guru haruslah menggunakan pendekatan yang kreatif dan kritis
untuk menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Cikgu Donny Chin
(Utusan Online, 2011), menyatakan bahawa mendidik pelajar kelas pendidikan khas
bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu pendekatan kreatif dan kritis
dalam pembelajaran kerana setiap pelajar pendidikan khas di dalam sesebuah
kelas memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.
Guru juga dianggap sebagai pengurus
apabila mereka diperlukan untuk mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid
supaya menjalankan tugas seperti menjaga kebersihan kelas, menjaga disiplin
pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru menjalankan tugas sebagai pengurus akan
mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat, disiplin kelas yang mantap dan
keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru pendidikan khas juga
bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid mereka. Rekod
peribadi mereka sangatlah penting kepada individu lain untuk mendapatkan
maklumat dan sebaginya. Guru juga perlulah sentiasa mengemaskini rekod peribadi
murid-murid ini supaya perkembangan terbaru mereka dapat diperbaharui.
Kaunselor juga seringkali dikaitkan
dengan guru pendidikan khas. ia berlaku apabila mereka seringkali mempunyai
anggapan positif terhadap pelajar mereka. Mereka tidak pernah menganggap
pelajar mereka mempunyai masalah yang tidak boleh diselesaikan. Justeru itu,
mereka sentiasa menerima pelajar mereka tanpa syarat. Guru Pendidikan Khas juga
dianggap kaunselor apabila murid-murid mengalami masalah sosioemosi seperti
rasa takut, kecewa, bosan dan sebagainya serta masalah pembelajaran hendaklah
dibimbing supaya murid dapat membina keyakinan diri. Sebagai contoh Cikgu
Alizah Abdul Malek, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah
Kebangsaan Kolombong telah mengatakan bahawa beliau bukan sahaja mengajar di
sekolah malah pernah diminta oleh ibu bapa pelajar supaya menelefon dan
mengejutkan anak mereka yang enggan ke sekolah (Utusan Online, 2011). Ini
membuktikan bahawa peranan guru pendidikan khas sebagai kaunselor yang sentiasa
menyelesaikan masalah murid walaupun masalah berlaku di luar sekolah. Lain pula
dengan Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota apabila
terdapat pelajar istimewa yang dirasakan berpotensi, dia akan membawa mereka
pulang ke rumah selepas sekolah dan mengajar cara-cara pengurusan diri. (Kosmo,
2008).
CABARAN GURU PENDIDIKAN KHAS
Menjadi guru pendidikan khas adalah
sesuatu yang amat berbeza dan mencabar berbanding menjadi guru biasa.(Utusan
Online, 2011). Kata-kata tersebut adalah petikan daripada seorang guru
pendidikan khas yang sebelum ini adalah guru biasa. Menurut Cikgu Alizah Bt
Abdul Malek, kehidupan sebagai seorang guru pendidikan khas sangat mencabar
kerana pelbagai karenah murid yang berbeza terpaksa mereka hadapi. Pendapat ini
telah disokong oleh seorang lagi guru pendidikan khas iaitu Cikgu Norfadzilah
Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota bahawa menjadi guru pendidkan khas
sangat mencabar. (Kosmo, 2008)
Cabaran yang paling besar yang perlu
dihadapi ialah murid-murid sendiri. murid-murid ini akan melakukan pelbagai
aksi ataupun sikap untuk menunjukkan sikap memberontak, marah, sedih dan
sebagainya. Terdapat juga murid yang membuat perangai disebabkan inginkan
perhatian. Ia telah dialami oleh Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah
Menengah Danau Kota yang telah digigit dan dipukul kerana tidak memberikan
perhatian kepada seorang pelajar. Disebabkan kerenah yang pelbagai, guru perlu
menggunakan segala kepakaran mereka samaada memujuk, menyelesaikan masalah dan
sebagainya.
Seterusnya ialah cabaran daripada ibu
bapa apabila meletakkan harapan yang tinggi terhadap guru untuk mengubah anak
mereka. Apabila wujud kesedaran ibu bapa terhadap masalah pembelajaran
anak-anak mereka, mereka akan menghantar anak mereka ke sekolah. Mereka
akan mula mengharapkan perubahan terhadap anak mereka sedangkan guru hanya
mendidik semasa murid di sekolah sahaja. Tetapi dengan rasa tanggungjawab dan
ikhlas dalam menjalankan tugas, guru pendidikan khas merasakan mereka mampu
membawa perubahan kepada anak-anak istimewa ini. Seorang ibu iaitu Dayang
Kianhing, telah mengatakan bahawa anaknya telah berlaku perubahan yang
memberangsangkan apabila sudah boleh menghafal surah al-Fatihah dan bersolat
serta sudah berminat ke sekolah. Ia adalah perkembangan yang memberangsangkan
kerana anaknya sebelum ini mengalami masalah hiperaktif dan masalah pertuturan.
(Utusan Online, 2011)
No comments:
Post a Comment