Pages

Sunday, 31 August 2014

CIRI - CIRI GURU PENDIDIKAN KHAS

2.2 CIRI-CIRI GURU PENDIDIKAN KHAS




    MENYANYI DAN BERCERITA DAPAT MENARIK MINAT MEREKA UNTUK BELAJAR



          Guru adalah orang yang penting dalam riwayat hidup setiap individu sehinggakan ada pendapat yang mengatakan, “Saya suka subjek itu kerana saya sukakan cara guru itu mengajarnya”. Apabila kanak-kanak itu mula bersekolah sehinggalah mereka meningkat dewasa, mereka sentiasa berhadapan dengan guru serta interaksi juga sering berlaku. Guru mengajar, membimbing, menegur, memuji, memujuk dan memarahi pelajar-pelajarnya adalah situasi yang sentiasa berlaku semasa pengajaran dijalankan. Dalam situasi ini terdapat pelbagai kualiti yang berbeza. Mengikut Atan Long (1992) dalam buku Mengurus Tingkah Laku Pelajar , terdapat beberapa ciri menjadi guru yang baik iaitu emosi dan mental yang stabil dan sihat, dipercayai, sering memberi kerjasama, kesihatan yang baik, kecerdasan otak dan tingkahlaku yang sopan dan menyenangkan. Kesantunan dan kepedulian adalah ciri-ciri guru yang baik malah ia adalah perkara-perkara yang terkandung di bawah etika guru. Mengikut Kamus Dewan Edisi Ke-4, etika ialah prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Oleh sebab itu, dapat disimpulkan bahawa etika guru ialah prinsip moral atau akhlak yang menjadi pegangan seorang guru.





Jika dikaitkan dengan kesantunan guru atau etiket, ia terbahagi kepada tiga iaitu kesantunan berpakaian, kesantunan tingkahlaku dan kesantunan berbahasa. Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh suatu kelompok masyarakat tertentu sehingga kesantunan tersebut sekaligus menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2010). Oleh yang demikian, kesantunan guru perlu dipamerkan untuk membentuk kesantunan di kalangan murid. Kepedulian guru juga adalah salah satu daripada ciri guru yang baik. Pendekatan kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk berkorban demi orang lain. Kepedulian atau dalam istilah yang lain ialah ‘ambil peduli’, ‘mengambil berat’ dan ‘menyayangi’, yang melibatkan responsif sensitif terhadap orang lain berdasarkan sikap keterbukaan dan perhatian terhadap pengalaman mereka. Oleh yang demikian, kepedulian bolehlah didefinisikan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain. (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2010).

          Salah satu ciri guru pendidikan khas yang baik ialah mempunyai sifat sabar yang tinggi. Kesabaran ini diperlukan ketika menghadapi karenah murid-murid ini. Hal ini kerana murid berkeperluan khas ini sangat unik dan mempunyai pelbagai karenah dan perangai tersendiri seperti tidak sabar, memberontak, cepat menangis dan mengamuk. Untuk menghadapi situasi ini, seorang guru haruslah sentiasa berupaya mendengar dengan tekun, mengawal perasaan, serta menghargai murid. Jika kesabaran tidak dapat dipraktikkan, maka guru ini akan mengalami situasi yang sangat sukar dalam mengendalikan murid-murid dan kemungkinan guru-guru ini juga akan mengalami kemurungan. Memetik kata-kata Cikgu Lee Fong Lan dari Sekolah Menengah Danau Kota dalam Kosmo terbitan 2008, beliau menyatakan bahawa beliau pernah ditendang dan diludah oleh kanak-kanak autisme tetapi dengan kesabarannya mendidik akhirnya kanak-kanak tersebut semakin mendengar kata dan berkelakuan baik. Pendapat ini disokong oleh Cikgu Alizah bahawa guru pendidikan khas memerlukan kesabaran yang tinggi dan dengan kesabaran itu menjadikan proefesion guru sebagai unik dan menarik.

          Selain itu, guru pendidikan khas juga haruslah bertanggungjawab untuk mendidik murid-murid berkeperluan khas. Sudah diketahui umum bahawa bukan semua murid-murid berkeperluan khas ini mampu membaca, menulis seperti rakannya yang lain tetapi menjadi satu kebanggaan kepada gurunya apabila murid mereka mampu berdikari dan mengurus keperluan diri sendiri. Ia merupakan kejayaan terbesar yang dan hadiah yang tidak ternilai untuk seorang guru walaupun setelah masa yang lama untuk dididik. Justeru itu, guru seharusnya bertanggungjawab menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik minat murid dalam pembelajaran. Seperti yang dikatakan oleh Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), bahawa pengajaran yang dilakukan kepada murid pendidikan khas perlu pendekatan kreatif dan kritis serta mempunyai kaedah pengajaran tersendiri.

          Jika guru disiplin perlukan sifat yang tegas, guru pendidikan khas pula perlukan sifat pandai memujuk murid. Sifat ini diperlukan untuk menangani pelajar yang agrasif. Murid seperti ini tidak boleh dimarahi kerana mereka akan menjadi lebih agresif. Disinilah pentingnya sifat memujuk dan tahap kesabaran yang tinggi. Layanan yang diberikan kepada pelajar ini  perlulah dengan penuh berhemah. Sebagai contoh, Cikgu Alizah Abdul Malek telah mengalami situasi murid telah memanjat pokok dan pujukan diperlukan untuk murid tersebut turun dengan selamat. (Utusan Online, 2011)








          Komunikasi antara guru dengan murid dan ibu bapa adalah sangat penting dalam mewujudkan perhubungan yang baik. Ciri positif komunikasi tersebut ialah guru boleh berinteraksi dengan baik. Dengan interaksi yang berlaku akan mewujudkan pelbagai perasaan yang positif seperti kepercayaan, empati dalam diri, penerimaan murid dan sebagainya. Dengan interaksi dua hala ini ibu bapa senang untuk mengadakan perbincangan dan meluahkan pandangan serta idea. Petikan daripada Khutbah Jakim juga menyatakan bahawa hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru penting supaya usaha mengasuh dan mendidik anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Ibu bapa dan masyarakat perlu menjalin hubungan erat dan berterusan dengan pihak sekolah supaya permasalahan diselesaikan secara muhibah. (Berita Harian, 2011)


          Untuk mengatasi segala masalah yang berkaitan, guru haruslah mempunyai ilmu yang cukup dan kecerdasan minda dalam menyelesaikan masalah. Ilmu menjadi sesuatu yang penting untuk guru-guru ini mengenalpasti murid-murid mereka dengan baik dan mencari jalan penyelesaian yang baik dan sesuai untuk setiap murid. Ilmu bukan sahaja melalui pembacaan tetapi guru-guru ini boleh menghadiri kursus, menyambung pengajian dan bertanyakan pakar adalah salah satu daripada ilmu yang diperolehi. Dengan ilmu yang ada, guru-guru dapat menggunakan kecerdasan minda mereka dalam menghadapi muird-murid ini.

No comments:

Post a Comment