DEFINISI
DAN KONSEP PENDIDIKAN KHAS
1.1
Definisi Pendidikan Khas
Pendidikan Khas bererti program yang
dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid-murid khas. Pengajaran
dan pembelajaran program ini menggunakan teknik yang bersesuaian dengan murid-murid
khas. Ini termasuk menggunakan sumber dan peralatan khas untuk membantu
pembelajaran murid-murid khas.
Menurut Hallahan dan Kauffman (2006):
Pendidikan Khas didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan
untuk memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas. Gargiulo (2003) pula
menyatakan Pendidikan Khas merupakan program pengajaran khusus yang di reka
bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan
penggunaan bahan-bahan peralatan dan kaedah pengajaran khusus. Friend (2005) menyatakan
Pendidikan Khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi memenuhi
keperluan kanak-kanak yang kurang upaya. Pengajaran ini mungkin dikelolakan
dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institut lain. Mansor (2005)
Program Pendidikan Khas di Malaysia merupakan satu usaha yang berterusan
menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran,
berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan
kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai seorang individu dan ahli
masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan
Negara.
1.2
Definisi kanak-kanak Berkeperluan Khas
Kanak-kanak berkeperluan khas
(exceptional children) terdiri daripada kanak-kanak yang mengalami kesukaran
belajar. Kanak-kanak pintar, cerdas (gifted) yang mempunyai kebolehan yang jauh
lebih tinggi daripada norma juga diklasifikasikan sebagai kanak-kanak berkeperluan
khas. Kedua-dua kumpulan pelajar ini memerlukan pengubahsuaian kepada kurikulum
dan kaedah mengajar supaya mereka dapat merealisasikan potensi mereka
(Heward,2003). Pelbagai istilah lain telah digunakan untuk ‘kanak-kanak
berkeperluan khas’ ini seperti kanak-kanak istimewa, kanak-kanak luar biasa,
kanak-kanak kurang upaya, kanak-kanak cacat, kanak-kanak abnormal, kanak-kanak
bermasalah dan kanak-kanak terbantut pertumbuhan dan perkembangan.
Menurut Kail (2001) hampir 4% daripada
populasi dunia terdiri daripada individu luar biasa atau kanak-kanak
berkeperluan khas. Terdapat kanak-kanak yang dilahirkan tanpa boleh mendengar
apa-apa bunyi, manakala ada juga yang dilahirkan tanpa mempunyai keupayaan untuk
melihat objek atau cahaya termasuk muka ibu bapa sendiri. Terdapat kanak-kanak
yang mengalami kesukaran memberi tumpuan atau mengalami kerencatan mental sejak
lahir. Secara umumnya kanak-kanak berkeperluan khas berbeza daripada
kanak-kanak normal dari segi mental (pencapaian akademik),keupayaan deria
(melihat dan mendengar),keupayaan berkomunikasi (menulis dan bertutur), tingkah
laku (mengawal diri) dan emosi (bercampur gaul) dan ciri-ciri fizikal (bergerak
dan menjaga diri sendiri).
1.3
Istilah
1.3.1
Handicap
Sesuatu kelemahan yang terdapat pada
seseorang akibat daripada sesuatu kekurangan yang menghadkan atau menghalang
dia memenuhi peranan sebagai seorang yang normal. Sesuatu jenis kecatatan
mungkin menjadi masalah dalam satu persekitaran yang berlainan. Contohnya
seorang pelajar pekak mungkin merasa cacat kerana sukar bermain alat muzik
dalam pancaragam sekolah dengan kanak-kanak biasa. Sebaliknya kanak-kanak yang sama
tidak merasa tercacat ketika dalam makmal sains.
1.3.2
Disability
Sesuatu yang menghalang seseorang
melakukan kerja atau tugas tertentu yang dapat dilakukan oleh individu normal.
1.3.3
Impairment
Ketidaknormalan dari aspek psikologi,
fisiologi dan anatomi. Ia juga berkaitan ketidaknormalan struktur atau fungsi
dari k segi psikologi, fisiologi dan anatomi. Contohnya kekurangan dari aspek
pendengaran atau penglihatan.
No comments:
Post a Comment